Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Sewaktu saya mula menaip, saya baru saja menerima panggilan dari Covid-19 Physician bahawa bapa saya dalam keadaan stabil dan boleh dibenarkan pulang. Segala puji bagi Allah SWT dengan rahmat dan kasih sayangnya, kami sekeluarga masih diberi kesempatan untuk berjumpa dengan abah. Saya abadikan kenangan ini disini sebagai peringatan untuk diri dan rakan-rakan.
Kronologi :
Pada 29 Julai, abah dimasukkan ke wad secara sukarela (elective admission) untuk menjalani prosedur pacemaker insertion. Jantung abah didapati tidak berdegup seragam dan sangat perlahan pada waktu pagi. Jadi, pakar telah menyarankan abah menggunakan pacemaker disebabkan abah juga mempunyai masalah buah pinggang dan kemungkinan perlu didialisis di masa hadapan.
Sebelum prosedur ini dilakukan, adalah satu pemeriksaan rutin untuk pesakit menjalani ujian swab RTK covid-19. Debaran menunggu keputusan ini adalah lebih besar daripada debaran kami untuk abah menjalani pembedahan. Saya sangat bimbang kalau-kalau abah tiba-tiba didapati positif dan prosedur tidak dapat diteruskan. Lebih kami risau jika abah positif dan terpaksa dimasukkan ke wad Covid.
Alhamdulillah RTK abah negatif, dan prosedur berjalan lancar. Hari Sabtu 31 Julai abah dibenarkan discaj. Saya dan mama bersyukur semua urusan selesai, dengan keadaan kes Covid-19 semasa yang kian meningkat, jika kami tangguh prosedur pacemaker ini belum pasti akan dapat dilakukan dalam masa terdekat. Abah pula beritahu, untuk 6 minggu pertama dia tidak digalakkan memandu oleh vendor. Saya masih ingat saya kata pada mama “Alhamdulillah abah tak boleh memandu dan setuju untuk solat di rumah. Kes makin banyak sekarang, Ikah risau kalau abah pergi masjid, takut dapat jangkitan dari orang lain”. Astaghfirullah.
Mimpi ngeri kami bermula pada hari Isnin. Apabila saya pulang dari hospital, nampak abah tidak begitu ceria. Kata abah dia demam, menggigil dan batuk-batuk. Keesokan harinya saya minta pendapat dari unit kardiologi, mereka sarankan abah dibawa ke unit kecemasan untuk pemeriksaan lanjut. Saya ambil cuti kecemasan dan pujuk abah untuk ke hospital (abah pada mulanya tak mahu ke hospital disebabkan dia baru saja berjumpa doktor kardiologi pada hari isnin).
Sampai di Triage – tekanan darah abah 89/49, bila diulang pun masih dalam range yang hampir sama. Disebabkan simptom abah – demam & batuk, abah ditolak masuk ke Zon Respiratori. Allah berbuku rasa hati – saya rasa abah lebih terdedah kepada jangkitan Covid-19 kalau masuk ke sana. Saya cuba rationalize dengan pegawai perubatan yang menjaga – mungkin ini demam selepas pembedahan, tapi mereka memang sangat berhati-hati dan abah ditolak masuk ke zon respiratori. Saya yakin abah negatif covid-19 kerana sejak abah discaj, abah langsung tidak ke mana-mana. Saya sendiri tidak ada berjumpa dengan pesakit (cuti minggu sebelum disebabkan urusan pacemaker abah). Saya tidak cakap apa-apa dengan abah kecuali “abah jangan buka mask.. abah jangan buka mask”. Dalam hati saya sangat bimbang abah masuk ke zon respiratori kerana sudah tentu ada pesakit lain yang positif di dalam.
Paling saya risau adalah tekanan darah abah yang rendah. Bimbang abah mengalami jangkitan yang serius. Selepas abah masuk ke zon respiratori, barulah saya terfikir, jika abah positif covid, risikonya sangat tinggi kerana abah mempunyai latar belakang penyakit kronik pelbagai. Macam-macam fikiran negatif mula datang. Rakan saya cuba menenangkan saya yang jika RTK abah negatif, abah akan dibenarkan keluar dari Zon Respiratori. Tidak lama kemudian saya terima panggilan dari abah yang RTK abah positif. Allahuakbar. Disusuli panggilan dari pegawai perubatan dari zon tersebut, “Saya nak maklumkan, ayah you Covid-19 positive Category 2… But you know how Covid is, your father has a lot of comorbids, we hope it won’t get worse”.
Saya mula menyalahkan diri sendiri. Mula tercari-cari dari mana abah dapat jangkitan. Adakah saya yang bawa kuman kepada abah? Adakah mama dan opah akan positif juga? Macam-macam bermain di fikiran saya. Saya maklumkan kepada adik beradik supaya doakan abah. Saya sendiri perlu beredar dari persekitaran hospital disebabkan saya juga berkemungkinan positif. Alhamdulillah pada waktu petang, saya terima panggilan dari pegawai perubatan wad covid – saya dimaklumkan abah dalam keadaan stabil, tidak perlu bantuan oksigen.. Chest Xray abah ‘clear’ kemungkinan kerana abah telah divaksin lengkap dua dos.
Allah Sebaik-Baik Penjaga
Sepanjang abah di dalam wad, kami di rumah perlu menjalani kuarantin kendiri. Saya bersyukur dan sangat berterima kasih kepada rakan-rakan sekerja yang tidak henti memberi sokongan moral kepada saya dan keluarga. Allah juga mengatur, abah dipindahkan ke wad yang ada kawan saya bekerja di sana. Dapatlah sedikit sebanyak saya bertanya perkembangan abah. Apa-apa keperluan abah – semuanya terpaksa saya mohon pertolongan dari rakan-rakan untuk dihantar ke wad covid. Alhamdulillah abah stabil sepanjang Sembilan hari abah di dalam wad. Abah tidak perlu bantuan oksigen subhanallah dan demam juga kebah pada hari pertama.
Paling menakutkan setiap kali kami cuba menelefon abah dan dia tidak menjawap panggilan – pelbagai sangkaan negative menjelma – adakah abah sesak nafas? Is he getting worse? Tapi alhamdulillah dengan bantuan staff di wad, pada hari kelima – kami dapat video call dengan abah. Lapang rasa hati melihat abah segar namun masih dibayangi kebimbangan dengan bacaan renal profile abah yang perlahan-lahan meningkat. Dalam keadaan tidak dapat berjumpa abah, dan komunikasi yang terhad dengan team menjaga – saya faham kesibukan mereka dan serba salah hendak menghubungi mereka dengan kerap untuk dapatkan update tentang abah. Pada masa itu tidak ada daya melainkan bergantung sepenuh harapan kepada Allah SWT.
Akhirnya abah dibenarkan discaj pada 11 Ogos 2021. Sebaik sampai di rumah abah beritahu kami, “Memang rezeki kita, nak jadi sebab saja abah dah vaksin jadi keadaan tidak begitu teruk”. Subhanallah. Mendengar cerita abah tentang pesakit lain dalam wad yang keadaannya merosot dengan begitu cepat cukup menimbulkan rasa tidak selesa. 3 hari telah berlalu dan saya masih lagi dalam mod berjaga-jaga. Oksigen abah masih dipantau setiap hari sebagai langkah berjaga-jaga. Hari ini akhirnya saya beritahu pada abah perasaan saya apabila dia didapati positif covid-19. Saya salahkan diri atas macam-macam perkara. Abah beri ingatan “Ini takdir Allah Taala. Kalau abah mati, maksudnya memang Allah Taala dah kata abah hidup setakat itu sahaja.” Sedikit sebanyak memujuk hati saya.
Saya bermuhasabah mengingatkan diri – jangan sekali-kali rasa apa yang berlaku adalah atas usaha atau perbuatan kita. SEMUANYA adalah dari Allah. Apabila kita dalam keadaan yang lemah – dukacita dan mula putus asa itulah waktunya Syaitan akan menjentikkan macam-macam perasaan – marah, menyalahkan diri sendiri dan pelbagai sesalan. Hakikatnya, tidak ada satu perkara yang berlaku dalam kehidupan ini tanpa izin Allah SWT. Sabar itu pada pukulan yang pertama dan saya pastinya gagal untuk ujian ini.
Ucapan penghargaan saya untuk rakan-rakan dan sanak-saudara yang telah sama-sama mendoakan keselamatan dan kesembuhan abah. Al-Fatihah
untuk semua yang terkorban dalam peperangan manusia dengan Covid-19. Semoga
kita semua sentiasa dalam perlindungan Allah SWT. Hasbunallahu wa ni'mal wakeel.