Monday, September 2, 2013

Dari Bismillah ke Alhamdulillah 'Assalamah!


Antara kelebihan duduk di Timur Tengah bagi saya adalah menikmati budaya doa yang sangat subur dalam kalangan masyarakat Arab. Saban hari usai saya mengambil riwayat pesakit, saya ucapkan "Salamtak!" pada pesakit, dan berjela-jela pula balasan doa dari pesakit, keluarga, penjaga kepada saya dan rakan-rakan. Selalu saja saya kebuntuan ingin membalas kembali doa-doa tersebut.

Hari ini antara perbualan saya dengan rakan ialah bagaimana agaknya suasana bila di Malaysia. Pernah sebelum ini saya mendengar kata-kata nasihat yang berbunyi, "Doktor yang pulang dari Timur Tengah perlu ada nilai tambah... Sebelum memulakan sesuatu prosedur, bacalah bismillah..." Eh? Setakat itu sajakah nilai tambah Islami pada seorang doktor kelulusan timur tengah? Pernah juga saya dengar pengalaman ahli keluarga yang "sejuk perut", "sejuk hati" bila dengar doktor yang meniti di bibirnya bismillah, alhamdulillah dan inshaAllah.

Persoalannya bila pulang nanti, mampukah saya masih mengucapkan doa-doa semudah "Salamtak" dan "Allah Yashfiik" pada pesakit-pesakit? Ataupun saya akan jadi ragu-ragu bimbang ada yang mengira saya sesat kerana ungkapan-ungkapan ini tidak biasa kita dengar? Ataupun saya hanya doakan dalam bahasa melayu saja "Semoga Allah sembuhkan Tuan/Puan"? Ataupun adakah saya akan melupakan amalan murni budaya doa dan menjadi seorang doktor yang mahal senyuman?

Saya belum berpeluang turun ke lapangan. Barangkali rakan-rakan serta senior-senior yang sudah berpeluang berkhidmat lebih tahu situasinya bagaimana.

Dari Bismillah, InshaAllah ke Alhamdulillah 'Assalamah.

Indahnya doa dalam kehidupan masyarakat Arab, sebelum surgery doktor dalam menjelaskan pelan rawatan disertakan dengan InshaAllah, memulakan prosedur dengan Bismillah, dan sebaik selesai dengan Alhamdulillah 'Assalamah (atau Alhamdulillah Alas-salamah). Begitu juga perjalanan menaiki teksi. Masuk kenderaan dengan bismillah dan assalamualaikum, nyatakan destinasi diiringi insha-Allah, dan disudahi dengan Alhamdulillah 'Assalamah sebaik tiba ke destinasi.

Saya tahu saya akan rindu. Pada pesakit-pesakit dan keluarga mereka yang mendoakan kejayaan kami. Kadangkala saya iri hati mendengar pesakit mendoakan doktor yang merawat mereka, "Allah yujzikal kheir ya duktuur, Allah yusaa'adik, Allah yu'tikal alfu kheir". (Semoga Allah mengganjari doktor dengan kebaikan, Semoga Allah membantumu, Semoga Allah memberikan beribu-ribu lemon kebaikan padamu doktor). 

Muaz dan doa masuk ke tandas!

Satu hari, anak buah saya yang sulung, Muaz menduga saya tentang doa masuk ke tandas. 
Muaz : Maksu, maksu tahu ke doa masuk tandas? Cuba maksu baca muaz dengar.
Saya : Tahu. (saya bacakan doanya)
Muaz : Dulu sebelum muaz pergi sekolah maksu tak tahu ke maksu tak ingat? 
Saya : Ha? maksu ingat je...
Muaz : Kenapa maksu tak bagitahu Muaz pun doa masuk tandas?

Saya diam sendiri. Sudah jadi kebiasaan kita menyuruh anak kecil membaca doa sebelum makan, tapi banyak aktiviti-aktiviti lain kita lupa ataupun boleh jadi kita malas nak mengajar, sebab kita sendiri pun tak mengamalkan doa-doa tersebut.

Mendoakan orang lain

Saya terfikir, boleh jadi sebab kita ada misconception tentang doa, yang menjadikan kita jauh dengan doa. Kita sangka doa perlu dalam keadaan menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan, dimulakan dengan pujian terhadap Allah dan selawat keatas Rasul, dan disusuli dengan doa. Tapi hakikatnya, doa lebih mudah dari yang kita sangka. Apabila melihat orang dalam keadaan susah, dan terdetik dalam hati kita, "Ya Allah, bantulah hambaMu itu." itu pun dikira doa. Yang penting, datang dari hati yang ikhlas dan bersungguh dalam doa.

Dalam satu riwayat  daripada Abu Darda’ RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, amin!, engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim).


Selain berbalas doa dalam urusan seharian, ada juga berdoa secara tanpa pengetahuan orang lain. Hadith ini saya rasa memotivasikan kita untuk mendoakan orang lain dan dalam masa yang sama menyelesaikan masalah iri hati dengan kelebihan orang lain. Masakan kita mahu berasa sedih atas kebahagiaan orang lain, sedangkan dari satu sudut tidak mustahil kebahagiaan orang lain itu adalah antara doa kita yang dimakbulkan Tuhan.

Semoga kita semua menjadi hamba-hamba yang melazimi doa dalam kehidupan seharian dan melazimi doa untuk orang lain di sekeliling kita. :-)

No comments: